suria

Kanak-kanak Koma Dipercayai Didera Teman Lelaki Ibu

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun koma setelah dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di Kampung Tualang, Manir, di sini Sabtu malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Mohd Danish Aiman Abdullah, tidak sedarkan diri setelah dikatakan ditampar oleh suspek.

Kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa akibat perselisihan faham di antara ibunya, Norisah Kassim, 22 dengan lelaki suspek berumur 31 tahun itu di rumah milik keluarganya.

Panik melihat kanak-kanak itu lemah dan tidak sedarkan diri, ibu mangsa bergegas membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini.

Kanak-kanak itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Difahamkan, Mohd Danish Aiman dan ibunya yang dalam proses penceraian dengan bapa kanak-kanak tersebut menumpang tinggal di rumah itu sejak tiga bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP K. Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.

Katanya, gerakan memburu suspek yang tidak bekerja itu giat dijalankan dan dipercayai suspek sedang menyembunyikan diri. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001. BERNAMA

Artikel Lain