suria

ESQ: Majlis Fatwa Kebangsaan Perlu Buat Ketetapan

KUALA LUMPUR: Sekumpulan bekas peserta kursus Emotional and Spiritual Quotient (ESQ) Leadership Training meminta Majlis Fatwa Kebangsaan membuat keputusan jelas mengenai ESQ selepas dua tahun dipantau.

Wakil mereka, Roseli Saat Al-Gayauwi berkata beliau dan 29 bekas peserta lain berasa khuatir kerana masih terdapat unsur kebatilan diselitkan di dalam buku ESQ dan modul latihannya.

Selepas dua tahun dipantau, kami ingin tahu hasil pemantauan, siapa yang melakukannya dan diharapkan kajian dijalankan secara terperinci dan telus, katanya pada sidang media bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh di sini, Jumaat.

Beliau berkata sejak enam tahun lepas, ESQ telah menjalankan latihan membabitkan lebih 100,000 peserta dan menular ke jabatan kerajaan, swasta serta intitusi pengajian tinggi.

Sehubungan itu, beliau berharap keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan akan membantu masyarakat agar tidak terjebak dengan ajaran bertentangan Islam selain mengekang penyebarannya.

"Kami mengakui segala kebenaran yang telah difatwakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan pada 17 Jun 1010 mengenai kesesatan aqidah yang diselitkan dalam modul latihan ESQ165," katanya.

Sementara itu Wan Zahidi berkata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) kekal dengan keputusan mengharamkan ESQ sekalipun ada pihak tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Beliau berkata empat kajian teliti telah dijalankan terhadap modul ESQ sejak 2008 sebelum diwartakan sebagai haram pada 2010.

Antara ciri-ciri penyelewengan ESQ yang diwartakan oleh MAIWP termasuk mendukung fahaman liberalisme iaitu memahami atau mentafsir nas-nas agama (al-Quran dan as-Sunnah) secara bebas, dan fahaman pluralisme-agama iaitu fahaman yang mengajarkan semua agama adalah sama dan benar.

ESQ juga mendakwa bahawa para nabi mencapai kebenaran melalui pengalaman serta pencarian dan ini bercanggah dengan akidah Islam bahawa kenabian dan kerasulan adalah pilihan Allah, bukan sesuatu yang boleh diusahakan.

Beliau berkata ESQ juga mencampuradukkan ajaran kerohanian bukan Islam dengan ajaran Islam serta menekanan konsep 'suara hati' (conscience) sebagai sumber rujukan utama dalam menentukan baik dan buruk sesuatu perbuatan.

Konsep suara hati adalah ajaran paling suci dalam agama Kristian, katanya menambah ESQ juga menjadikan logik sebagai sumber rujukan utama dan ini bertentangan dengan akidah Islam yang menetapkan al-Quran dan as-Sunnah sebagai sumber rujukan utama. BERNAMA

Artikel Lain