Data Infrastruktur Sekolah Akan Diwujudkan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan mewujudkan satu sistem data yang mengandungi maklumat berhubung keperluan infrastruktur di sekolah di seluruh negara tidak lama lagi untuk mewujudkan suasana kondusif bagi pelajar dan guru.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian akan menggunakan data itu untuk memastikan aset yang dimiliki termasuk bangunan dan infrastruktur di sekolah sentiasa dipelihara (maintenance) dan untuk menilai kekurangan yang dihadapi oleh sekolah.

"Dengan cara ini kita boleh menilai kekurangan di sekolah dan kita akan tahu keadaan di sekolah berkenaan tanpa PIBG perlu mohon (untuk penambahbaikan infrastruktur) kerana data mengenai sekolah itu sudah ada di kementerian.

"Kita juga hendak tentukan ada suasana kondusif di sekolah bukan sahaja untuk kemudahan pelajar, tetapi juga guru. Saya sedia maklum ada sekolah yang bilik gurunya terhad tetapi kita akan perbaiki masalah ini," katanya ketika berucap pada majlis Perhimpunan Perdana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Wilayah Persekutuan di sini, Sabtu.

Muhyiddin berkata, apabila perkara itu dipersetujui, Guru Besar dan Pengetua akan diminta menyediakan laporan tahunan dalam bentuk format mengenai keadaan sekolah masing-masing.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 10,000 buah sekolah di seluruh negara dengan 318 daripadanya di Wilayah Persekutuan sahaja.

"Berdasarkan angka itu, dianggarkan terdapat 20,000 bangunan yang merupakan aset kementerian perlu dijaga dan untuk menjaganya perlu ditingkatkan budaya 'maintenance' kerana jika tidak segala aset ini akan merosot," katanya.

Muhyiddin berkata, langkah itu selaras dengan tuntutan untuk membangunkan sistem pendidikan negara menerusi pelaksanaan semakan semula sistem pendidikan kebangsaan yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha memantapkan kualiti sistem pendidikan bukan sekadar slogan semata-mata tetapi merupakan komitmen yang perlu dilaksanakan kerana ia bakal menentukan sama ada negara ini akan mampu untuk mencapai Wawasan 2020.

"Penentuan sama ada kita menjadi sebuah negara membangun yang berpendapatan tinggi atau terus terperangkap dalam kelompok negara membangun yang berpendapatan sederhana, bergantung kepada sejauh mana sistem pendidikan kita dapat melahirkan modal insan yang diperlukan untuk memacu kemajuan negara ke tahap seterusnya," kata Timbalan Perdana Menteri.

Katanya, bagi memastikan semakan sistem pendidikan negara itu dijalankan secara menyeluruh, Kementerian Pelajaran buat julung kalinya akan melancarkan siri jelajah Dialog Pendidikan Nasional yang akan bermula hujung bulan ini.

Siri jelajah itu untuk memberi peluang kepada anggota masyarakat menyampaikan pandangan secara langsung kepada kerajaan mengenai isu pendidikan yang menyentuh kepentingan setiap individu di negara ini.

Katanya, siri jelajah Dialog Pendidikan Nasional itu akan diadakan di seluruh negara dan akan dilancarkan secara rasmi pada 29 April ini di peringkat Wilayah Persekutuan.

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada masyarakat awam, beliau berkata, satu pelan induk pendidikan nasional yang menggariskan haluan transformasi pendidikan negara secara menyeluruh akan disediakan.

"Pelan induk ini akan menjadi panduan kepada Kementerian Pelajaran untuk mentransformasi pendidikan negara selaras dengan hasrat rakyat untuk menjadikan pendidikan di Malaysia sebagai pendidikan yang bertaraf dunia.

"Jadi saya harap anggota masyarakat, khususnya PIBG akan mengambil bahagian, bukan sahaja hadir pada sesi dialog itu, tetapi turut memberi pandangan. Apa sahaja bentuk pandangan, hendak kritik pun tidak apa, asalkan untuk kebaikan semua pihak," katanya.

Muhyiddin berkata, Dialog Pendidikan Nasional adalah satu pendekatan baru yang diambil oleh kerajaan untuk mendengar pandangan daripada rakyat sendiri mengenai bentuk penambahbaikan yang perlu dilaksanakan untuk memantapkan kualiti pendidikan kebangsaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Klik

Covid-19 bukan sekadar pandemik, buktikan kepentingan dunia digital... dorong MYNIC lebih rancak bantu bisnes online

MYNIC menawarkan program latihan pemasaran digital, dengan membawa perniagaan luar talian ke dalam talian dan seterusnya menghadapi pasaran ekonomi digital global.

Ketahui 7 cara mudah sediakan makanan di rumah

SEBENARNYA tak susah untuk menaik taraf ruang peribadi anda terutamanya dapur bagi memudahkan dan melancarkan hari-hari anda di rumah.

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Berkongsi rezeki... itulah maksud di sebalik amalan membayar cukai

HARI ini, Malaysia dilanda krisis pandemik Covid-19 yang telah memberi banyak kesan kepada semua lapisan masyarakat.

Duka Covid-19 seakan terubat, TNB sinari hidup golongan memerlukan, agih zakat cecah RM4.36 juta

TNB tampil dengan inisiatif perkongsian rezeki melalui pengagihan wang wakalah zakatnya ke seluruh pelusuk tanah air.

Artikel Lain