suria

Bridged Sukarelawan Khidmat Negara Bukan Program Bermusim - Ahmad Zahid

BAGAN DATOH: Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) yang mempunyai elemen kepelbagaian budaya, agama dan bangsa bukan satu program bermusim, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, BSKN bebas daripada kefahaman politik yang berbeza dan memperlihatkan kesatuan ke arah merealisasikan matlamat 1Malaysia.

"Masyarakat semua kaum menerima BSKN dan bukan sekadar menjadi pemerhati, sebaliknya turut terlibat dalam kerja-kerja komuniti dan ini memperlihatkan keakraban antara sukarelawan BSKN dan masyarakat," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Khidmat Komuniti Perdana Jabatan Latihan Khidmat Negara bersama BSKN di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini, Sabtu.

Ahmad Zahid turut menggesa kesemua 600,000 bekas peserta Program Latihan Khidmat Negara supaya menyertai BSKN.

BSKN yang ditubuhkan secara rasmi pada Februari lepas dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan memberi khidmat sukarela kepada agensi penyelamat dan penguatkuasa untuk melakukan kerja khidmat masyarakat. - BERNAMA

Artikel Lain