suria

Warga India Ke Tali Gantung Edar Ketamin

SHAH ALAM: Seorang penjual ikan warganegara India dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis Ketamin seberat 2,267 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi Sadhik Amin Abdul Aleef, 39.

Ketika menyampaikan keputusannya, Hakim Ahmadi berkata mahkamah juga berpuas hati bahawa Sadhik Amin mempunyai pengetahuan ke atas dadah berkenaan dan tindakannya membawa dadah itu dari India merupakan satu perbuatan mengedar.

"Justeru saya mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah dan tertuduh dijatuhkan dengan satu-satunya hukuman di bawah kesalahan ini iaitu gantung di leher sampai mati," katanya.

Sadhik Amin didakwa melakukan kesalahan itu di Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, KLIA, kira-kira pukul 2.40 petang pada 17 Feb, 2010 mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Seramai enam saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nur Sarah Dina Baharudin sementara tertuduh diwakili peguam Sangeet Kaur Deo. BERNAMA

Artikel Lain