suria

Sindiket Penipuan Pusat Panggilan Jutaan Ringgit Tumpas

KUALA LUMPUR: Polis telah membongkarkan satu lagi sindiket penipuan pusat panggilan jutaan ringgit, kali ini melibatkan warga tempatan dengan penahanan lima individu pada Khamis.

Anggota-anggota sindiket akan menyamar sebagai pegawai polis Bukit Aman atau pegawai bank, memaklumkan mangsa bahawa akaun bank mereka sedang disiasat berikut mengesyaki terdapat aktiviti-aktiviti haram.

Mangsa-mangsa akan diminta untuk membuat panggilan semula kepada “bank”.

Pengarah Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, anggota-anggota sindiket berkenaan akan memintas panggilan menerusi teknologi Panggilan Suara melalui Protokol Internet (VoIP) dan akan memberitahu mangsa untuk membuat bayaran ke satu akaun khas bagi mengelakkan terlibat dengan kes mahkamah.

Syed Ismail berkata, empat lelaki dan seorang wanita, berumur antara 23 dan 33 tahun, ditahan di sebuah unit kondominium di Bukit Jali pada tengah hari Khamis.

Difahamkan, salah seorang suspek yang berusia 27 tahun pernah ditahan di China pada 2011 atas kesalahan yang sama.

Suspek terbabit ditahan selama 11 bulan sebelum dihantar pulang ke Malaysia.

Sindiket tersebut sudah beroperasi sejak sebulan yang lalu dan dikatakan telah menipu berjuta-juta ringgit daripada rakyat Malaysia yang tidak berasa curiga mengenai aktiviti itu.

Syed Ismail berkata, anggota-anggota sindiket dipercayai mempunyai kaitan dengan kes seorang lelaki yang ditipu lebih RM3.2 juta pada Februari lalu.

Beliau berkata, sindiket itu akan mengeluarkan wang yang ditipu sebaik sahaja ia dipindahkan satu lagi akaun “keldai”.

Beliau berkata, golongan muda yang tidak curiga mengenainya akan diambil kerja menerusi iklan dalam akhbar Cina untuk menjadi pemegang akaun bagi akaun “keldai”.

“Keldai” pemegang akaun akan dibayar antara RM1,000 dan RM1,500 dengan komisyen tambahan untuk setiap akaun yang dibuka dan sekiranya wang berjaya dipindahkan ke akaun tersebut.

“Dari tahun 2006 sehingga 2011, terdapat peningkatan mendadak berkaitan dengan kes seumpama itu. Pada 2011 sahaja, jumlah kerugian berjumlah RM20 juta.

“Kami menggesa mereka yang telah dihubungi atau menjadi mangsa supaya menghubungi pihak polis,” kata Syed Ismail.

Artikel Lain