suria

RM259,700 Bantuan Warga Miskin Bandar Bukit Selambau

SUNGAI PETANI: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar memperuntukkan bantuan berjumlah RM259,700 untuk warga miskin bandar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dekat sini, kata Timbalan Menterinya Datuk M.Saravanan.

Beliau berkata peruntukan itu merangkumi bantuan membina rumah, membaik pulih rumah, peralatan kesihatan, peralatan perniagaan dan bantuan bakul makanan yang membabitkan 26 orang penerima.

Bantuan bina rumah membabitkan RM40,000 bagi setiap penerima, baik pulih rumah (RM10,000), bantuan perniagaan (RM1,000), bantuan peralatan kesihatan (bernilai RM700), bantuan bakul makanan (bernilai RM50) dan sumbangan tunai RM150 kepada setiap penerima, katanya kepada pemberita pada majlis Program Ziarah Kesejahteraan Bandar DUN Bukit Selambau di sini, Jumaat.

Beliau berkata bantuan bina rumah itu diberikan kepada warga miskin bandar yang menduduki rumah yang daif, tidak selamat dan tidak ekonomik untuk dibaiki semula serta memiliki isi rumah yang ramai. "Bantuan ini bagi membolehkan keluarga miskin tersebut mempunyai kediaman yang lebih selesa dan sesuai untuk didiami," katanya. Saravanan berkata berdasarkan status kemiskinan bandar yang berdaftar di bawah e-Kasih, sehingga 9 April tahun ini sebanyak 12,535 bilangan isi rumah miskin tegar berdaftar di seluruh negara.

Beliau berkata daripada jumlah itu, empat buah negeri mencatatkan bilangan golongan miskin tegar paling ramai iaitu Sarawak, Sabah, Kelantan dan Selangor.

"Macam di Sarawak ada 3,672, diikuti Sabah 2,766, Kelantan 1,649 dan Selangor 999," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain