suria

PM Turun Ke P. Pinang Ahad Ini Dengan Semangat Baru Menjelang PRU13

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak bertandang lagi ke Pulau Pinang pada Ahad ini dengan semangat baru untuk mendekati pelbagai lapisan masyarakat bagi mendengar denyut nadi rakyat Pulau Mutiara itu.

Pada persinggahan pertama di Nibong Tebal, Perdana Menteri akan menyampaikan amanat penting kepada 5,000 anggota jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di Kelab Golf Bukit Jawi.

Pada sebelah tengah hari, beliau akan mengadakan sesi dialog tertutup dengan badan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum Cina dan India secara berasingan anjuran Kelab Penyokong 1Malaysia (KP1M).

"Kira-kira 3,000 ahli daripada pelbagai pertubuhan Cina dijangka hadir. Dialog itu akan membolehkan Perdana Menteri memaklumkan kepada kita mengenai perkembangan terkini rancangan transformasi kerajaan.

"Pada masa sama, masyarakat itu secara langsung boleh menyuarakan pandangan mereka," kata pengerusi jawatankuasa penganjur Lim Boo Chang.

Menurutnya kebanyakan NGO Cina mahu kerajaan persekutuan membantu Pulau Pinang khususnya mengenai isu sosio ekonomi seperti menangani masalah kesesakan lalu lintas yang mana mereka berpendapat menjangkaui kemampuan kerajaan negeri.

"Sudah pasti kerajaan persekutuan mempunyai peranan yang perlu dimainkan. Kebanyakan masa, kami hanya mendengar perangkaan ekonomi yang digembar-gemburkan oleh kerajaan negeri tetapi pada realitinya, rakyat tidak merasai hasilnya.

"Kesesakan lalu lintas bertambah buruk dan rakyat tidak merasai manfaat daripada hasil pelaburan yang diterima oleh negeri dan juga ekonomi," kata Lim.

Beberapa pertubuhan Cina yang terkenal di Pulau Pinang sedang membantu KP1M bagi mengatur program sempena lawatan sehari Najib ke negeri itu, antaranya Dewan Perhimpunan Cina, Persatuan Wushu, Persatuan Tarian Singa dan Naga dan Persatuan Peranakan Cina Pulau Pinang.

Sejak setahun lalu, Najib telah beberapa kali melakukan lawatan ke negeri itu. Pada September lepas, beliau membantu mengumpul RM15 juta bagi 15 buah sekolah Cina apabila berbasikal lebih tujuh kilometer bersama 5,000 murid dan menyampaikan RM1 juta masing-masing kepada setiap sekolah itu di bawah program Kayuhan Amal 1Malaysia untuk Pendidikan.

Najib, yang juga Pengerusi BN, juga menghadiri rumah terbuka Aidilfitri di Permatang Pauh tahun lepas dan rumah terbuka Tahun Baru Cina 2012 di Tanjong Marina.

Lawatan Najib kali ini boleh disifatkan sebagai 'membina semula keyakinan' atau 'menggerakkan askarnya' di kalangan parti komponen BN negeri tetapi bagi penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian usaha itu masih merupakan tugas berat bagi BN merampas semula negeri itu. Andaiannya berdasarkan hakikat bahawa daripada 11 kerusi yang dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum 2008, hanya lima dimenangi dengan majoriti lebih 1,000 undi.

"Sekiranya berbanding 29 kerusi yang dimenangi oleh PKR-DAP-PAS, hanya sebuah kerusi (Batu Uban-PKR) mencatatkan majoriti bawah 1,000 undi. Adalah baik sekiranya BN boleh mengekalkan kesemua 11 kerusi itu dan berusaha merampas lebih daripada itu termasuk kerusi Batu Uban," katanya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi. Bagi B Nmerampas semula negeri itu, ia perlu mempertahankan kesemua 11 kerusi yang dimenanginya pada 2008 dan menang 10 lagi kerusi.

Ahli strategi BN percaya mereka mempunyai peluang untuk memenangi semula sehingga 15 kerusi di Pulau Pinang dan kemungkinan memenangi lebih banyak kerusi dalam DUN negeri itu.

UMNO yakin dapat mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi di Pulau Pinang pada 2008 manakala Gerakan dan MIC turut yakin untuk memenangi semula beberapa kerusi yang mereka kalah.

Pada 2008, UMNO hanya kalah tiga kerusi tetapi Gerakan kalah kesemua 13 kerusi yang ditandingi oleh parti itu, MCA kalah sembilan kerusi manakala MIC dua.

Baru-baru ini pemimpin DAP mendabik dada dengan menyatakan berdasarkan tinjauan tahun lepas, 90 peratus pengundi Cina dan India di negeri itu menyokong pakatan pembangkang dan oleh itu mereka tidak terlalu bimbang.

Sivamurugan berkata BN perlu membentuk barisan exco bayangan di Pulau Pinang bagi merampas semula negeri itu dengan timbul ura-ura mengenai pengerusi B Nnegeri yang baru.

Beberapa pemimpin BN menjangka pengumuman mengenai kepimpinan BN negeri akan dilakukan pada Ahad ini.

Buat masa ini, BN sedang menumpukan kepada beberapa isu khususnya salah guna kuasa dalam urusan penjualan tanah di Bayan Mutiara kepada pemaju hartanah dan masalah parkir di Air Itam.

Walaupun peluang BN merampas semula kuasa di Pulau Pinang nampak agak sukar ketika ini namun Najib berharap untuk meneruskan persemukaan dengan penduduk Pulau Pinang dan menjadikan kehadirannya dirasai di negeri itu. -BERNAMA

Artikel Lain