suria

Persijilan Seragam Penting Untuk Tingkatkan Teknologi Hijau Di Rantau Ini

KUALA LUMPUR: Perniagaan di Asia Tenggara kebanyakannya tertarik kepada idea "going green" tetapi mungkin akan mengguna pakai teknologi itu jika persijilan dan peraturan seragam yang ia gunakan di keseluruhan rantau ini dilaksanakan.

Editor serantau Oxford Business Group (OBG), Paulius Kuncinas berkata pengenalan persijilan serantau itu, disertai dengan insentif tambahan, panduan teknologi yang lebih hebat dan maklumat yang lebih baik, akan meningkatkan pertumbuhan dalam industri dan merangsangkan keyakinan pelabur.

"Teknologi hijau, jika dilaksanakan dengan betul, boleh menjimatkan kira-kira 40 hingga 60 peratus kos tenaga," kata Kuncinas dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata tanpa persijilan yang jelas dan konsisten, adalah sukar untuk syarikat mencapai keputusan pelaburan berhubung kos dan faedah untuk mengamalkan persekitaran yang hijau.

"Mereka bimbang apa yang disifatkan sebagai hijau hari ini mungkin tidak lagi dilihat sebegitu dalam beberapa tahun akan datang," tambah beliau.

Kuncinas turut mengetengahkan beberapa kebimbangan mengenai kekurangan kepakaran dalam teknologi hijau dan hanya segelintir sahaja syarikat yang berpengkhususan dalam bidang itu.

OBG ialah syarikat penerbitan, penyelidikan dan perundingan global yang menerbitkan maklumat ekonomi ke atas pasaran-pasaran Asia, Timur Tengah, Afrika dan Amerika Latin. -BERNAMA

Artikel Lain