suria

Kerajaan Akan Pastikan Program Pembangunan Luar Bandar Capai Objektif - Shafie

SEMPORNA: Kerajaan akan berusaha memastikan pelaksanaan program-program pembangunan luar bandar mencapai objektifnya demi manfaat golongan sasar, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagi tujuan itu, katanya penyelarasan bagi pelaksanaan program berkenaan antara kerajaan pusat dan kerajaan-kerajaan negeri akan dimantapkan.

"Ini bermakna banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk menjayakan misi tersebut," katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Omar Osman dan Exco-Exco Luar Bandar di sini malam Khamis.

Katanya mesyuarat tahunan Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) pada tahun ini akan membincangkan dasar-dasar dan cara melaksanakan projek di bawah kendalian kementerian itu.

Majlis itu diadakan sebagai menghargai Exco-Exco Luar Bandar dan Presiden CUEPACS dan jawatankuasa masing-masing dalam melaksanakan dasar-dasar dan program kerajaan. -BERNAMA

Artikel Lain