suria

Hujahan SPRM Berkaitan Kedudukan Saksi Kes Rasuah Norza Didengar 9 Mei

TEMERLOH: Mahkamah Tinggi di sini Khamis menetapkan 9 Mei bagi mendengar hujahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan kedudukan sembilan saksi dalam kes rasuah membabitkan bekas Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohamad Norza Zakaria.

Hakim, Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu selepas meminta Pegawai Pendakwa SPRM, Datuk Abdul Razak Musa menyediakan alasan bertulis sama ada Majistret Siti Hajar Mustaffa membuat keputusan yang betul atau sebaliknya semasa membebaskan semua saksi tersebut daripada pertuduhan memberi keterangan bercanggah pada perbicaraan Mohamad Norza.

Beliau juga meminta peguam yang mewakili kesemua saksi berkenaan, Datuk Jahaberdeen Mohamed Yunoos menyediakan hujahan bertulis pada tarikh yang sama dan menurutnya keputusan sama ada Mahkamah Tinggi menerima hujah tersebut akan ditentukan pada 17 Mei.

Kesemua saksi itu terdiri daripada Datuk Khadri Musa, 48, Muhammad Anuar Mohd. Yunus, 44, Nasaruddin Abdullah, 48, Mohd. Sabri Aziz, 46, Yusof Jamaluddin, 54, Jalaluddin Johan, 48, Mohd. Taupik Hussin, 41, Nor Azhar Abdul Latip, 49, dan Saiful Azman Mokhtar Affendi, 46, hadir pada prosiding pada Khamis.

Terdahulu, Abdul Razak memberitahu mahkamah, Mahkamah Majistret Temerloh sebelum ini telah menolak kemasukan kenyataan Seksyen 27 Akta SPRM yang berkaitan dengan pertuduhan pilihan kepada sembilan saksi terbabit.

Menurutnya, kesemua saksi itu telah memberikan kenyataan yang bercanggah kepada Mahkamah Seksyen di sini semasa perbicaraan kes rasuah Mohamad Norza berbanding kenyataan bersumpah yang dibuat kepada pegawai penyiasat SPRM.

Katanya, kesemua sembilan saksi itu telah didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan memberikan keterangan palsu di Mahkamah Sesyen, bagaimanapun Majistret Siti Hajar melepas dan membebaskan kesemua tertuduh selepas mendapati pihak pendakwaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka.

Mereka didakwa memberi keterangan yang bercanggah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azuar Che Yusof semasa perbicaraan terhadap Mohamad Norza yang bermula dari 10 Februari 2009 hingga 13 Mei 2010.

Keterangan itu didakwa bercanggah dengan keterangan yang diberikan mereka kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 20 Januari 2009 dan 23 April 2009 di pejabat SPRM Temerloh.

Pada 17 Jun 2010, Mohamad Norza dan ejennya, Halimi Kamaruzaman dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan rasuah setelah pihak pendakwaan tidak berhasrat mengemukakan keterangan lanjut selepas saksi-saksi yang memberi keterangan sebelum itu berpaling tadah.

Mohamad Norza, 43, didakwa memberi suapan RM1,500 kepada Khadri Musa menerusi Halimi untuk diagihkan kepada perwakilan sebagai dorongan supaya mengundinya memenangi jawatan Majlis Tertinggi pada Perhimpunan Agung Umno.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 6.30 petang, 20 Januari 2008 di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini. - BERNAMA

Artikel Lain