suria

Warga Emas Dikecuali Caj Pendaftaran Di Jabatan Pesakit Luar Pakar Hospital Kerajaan

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis mengumumkan pengecualian caj pendaftaran sebanyak RM5 di Jabatan Pesakit Luar Pakar di hospital dan klinik kerajaan bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata, pengecualian itu yang berkuatkuasa pada 1 Mei adalah tambahan kepada pengecualian caj pendaftaran pesakit luar sebanyak RM1 di semua hospital dan klinik kesihatan termasuk Klinik 1Malaysia yang diumumkannya tahun lalu.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pengurangan caj sebanyak 50 peratus daripada kadar caj pesakit Kelas Tiga hospital kerajaan dengan caj maksimum sebanyak RM250 sahaja bagi setiap kemasukan.

"Pengecualian tambahan itu adalah sebagai menunjukkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan dalam menjaga kebajikan warga emas," katanya semasa berucap merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia di sini, Khamis.

Pusat itu yang ditubuhkan menerusi kerjasama antara Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Hospital Putrajaya hanya melibatkan kos kurang daripada RM12 juta yang merangkumi kos-kos perolehan peralatan perubatan, bukan perubatan dan kenderaan serta pengubahsuaian bangunan.

Perdana Menteri berkata, penubuhan pusat itu merupakan satu lagi usaha kerajaan dalam menyediakan infrastruktur yang selesa kepada rakyat sebagai bukti bahawa kerajaan sentiasa peka dan prihatin dalam mendengar denyut nadi rakyat.

Najib turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Kesihatan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam merealisasikan projek murni tersebut.

"Menjalin kerjasama sebagai sebuah kerajaan banyak manfaat boleh diperolehi antaranya objektif yang nak dicapai akan dapat menjadi kenyataan dengan perbelanjaan dan kos yang jauh lebih rendah daripada kalau kita mengambil tindakan melalui kementerian dan jabatan secara bersendirian," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan strategi dan pendekatan Lautan Biru yang diterapkan itu juga hasilnya pusat bersalin tersebut dapat menjadi kenyataan dalam tempoh yang singkat hanya dalam tempoh lima bulan sahaja.

"Jika projek mendirikan hospital baru memakan masa bertahun lamanya untuk disiapkan, dengan strategi yang bijak yang dipraktikkan oleh agensi-agensi yang berkaitan, hanya lima bulan sahaja diperlukan dalam mewujudkan pusat bersalin itu," katanya.

Pusat bersalin itu telah diubahsuai daripada dua blok kuarters yang pada asalnya dibina untuk kakitangan kerajaan yang lengkap dengan kemudahan seperti dewan bersalin berhawa dingin, Pusat Saringan Pesakit, bilik untuk pesakit antenatal dan postnatal dan 24 buah katil untuk 'rooming in' bagi pesakit pediatrik bersama penjaga mereka. - BERNAMA

Artikel Lain