Suspek Bersama Alat Pemecah Cermin Kereta Ditahan Polis - Semasa | mStar

Suspek Bersama Alat Pemecah Cermin Kereta Ditahan Polis

KULIM: Polis menahan dua lelaki dipercayai terlibat dalam beberapa kes memecah cermin tingkap dan pintu kereta serta mencuri barangan berharga selain kes ragut sekitar daerah ini, di sini, Rabu.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Ghuzlan Salleh berkata dengan kerjasama anggota-anggota Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Daerah Kulim (PPKM), polis mengesan dua suspek berada dalam keadaaan mencurigakan sedang menunggang motosikal di bandar ini kira-kira 1.30 tengah hari.

"Selepas mengejar dengan motosikal sejauh hampir 10 km kedua-dua suspek akhirnya dikepong berhampiran bangunan balai polis di Jalan Raya dan diberkas oleh beberapa anggota PPKM yang sebelum itu mengekori kedua-dua suspek, dari Padang Umum di sini," katanya ketika dihubungi.

Ghuzlan berkata siasatan awal polis mendapati kedua-dua suspek yang berusia 24 dan 25 tahun itu terlibat dalam enam kes memecah pintu kereta, empat di sini dan dua di sekitar Pekan Machang Bubuk, Bukit Mertajam sejak lebih enam bulan lalu.

"Polis menjumpai beberapa peralatan seperti lastik, palam pencucuh motosikal dan pemutar skrew sebagai alat digunakan suspek untuk memecah cermin dan pintu kereta dan mencuri barangan dalam kenderaan serta satu dompet duit dipercayai milik mangsa," katanya.

Ghuzlan berkata pihak polis sedang mencari beberapa rakan suspek yang turut sama menjalankan kegiatan jenayah tersebut.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Selasa depan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain