suria

Polis Serbu Tiga Premis Judi Haram, Tahan Lima Orang

GEORGE TOWN: Polis menahan lima lelaki termasuk seorang penjawat awam yang sedang leka berjudi dalam serbuan di tiga premis perjudian siber dalam sebuah pusat beli belah di Jalan Lim Chwee Leong dekat sini malam Rabu.

Jurucakap polis Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut Polis berkata sebanyak 43 unit komputer yang telah diubah suai bernilai hampir RM150,000 turut disita dalam 'Ops Dadu' itu.

"Hasil maklumat awam dan intipan selama beberapa minggu polis dapat mengesan taktik licik pemilik premis yang berselindung di sebalik perniagaan kedai gambar dan ini adalah serbuan pertama membabitkan premis judi yang beroperasi dalam pusat beli belah tahun ini," katanya.

Katanya hasil siasatan awal mendapati premis itu terhad kepada pelanggan yang dikenali sahaja.

Jurucakap itu berkata lima lelaki yang berusia 25 hingga 65 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953 (Pindaan 2001) yang memperuntukkan denda RM10,000 bagi setiap unit mesin atau penjara sehingga lima tahun. - BERNAMA

Artikel Lain