suria

Pembangkang Tidak Akan Puas Hati Penambahbaikan Pilihan Raya Selagi Tidak Memerintah - Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR: Seorang anggota Parlimen, pada Khamis berkata pembangkang tidak akan berpuas hati dengan penambahbaikan proses pilihan raya selagi tidak memerintah dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri.

Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) berkata pembangkang akan tetap mengatakan Suruhanjaya Pilihan Raya tidak bersih selagi mereka tidak mendapat kuasa untuk memerintah.

"Sebab itu SPR dan pihak berkuasa perlu tegas laksana serta kuatkuasa peraturan pilihan raya, kerana khuatir mereka cetuskan huru-hara nanti.

"Kita sekarang ini sudah ada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) yang lembut dan terbuka terutama dalam menambahbaik pilihan raya tetapi pembangkang masih tak puas hati lagi. Ini permainan politik semasa mereka," katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Sebelum itu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) ketika membahaskan rang undang-undang itu, berkata SPR perlu membatalkan terus kira-kira 42,000 pengundi yang berstatus meragukan dalam daftar pemilih bagi memastikan daftar pemilih 100 peratus bersih.

"Walaupun melibatkan 0.3 peratus daripada jumlah pemilih dalam daftar itu, bilangannya tetap mampu memberikan impak besar dalam menentukan kemenangan atau kekalahan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional.

"Perlu ada wakil daripada parti bertanding ketika pengundi membuat semakan daftar pemilih di barong SPR pada hari pengundian," katanya.

Bagaimanapun, cadangan membatalkan pengundi berstatus meragukan itu dibantah Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Mohamad Aziz (BN-Seri Gading) dan Datuk Lilah Yassin (BN-Jempol).

Bung Mokhtar ketika membahaskan rang undang-undang itu berkata ketika nama pengundi berstatus meragukan ini dipamerkan SPR pada tahun lepas, lebih 1,000 orang tampil bagi membetulkan status mereka.

"Ini menunjukkan perlunya pengundi ini dikekalkan dalam daftar pemilih bagi memastikan hak mengundi mereka sentiasa ada dan terjamin. Saya juga diberitahu ada mereka ini berumur antara 70 dan 100 tahun, warga emas yang patut kita jaga.

"Jika hapuskan terus, macam mana mereka hendak mengundi sedangkan mereka layak. Bila tidak hapus SPR juga akan ada ruang untuk bersihkan daftar pemilih ini. Jadi SPR perlu bekerja keras lepas ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain