suria

Malaysia Airlines Tingkatkan Pengalaman Pelanggan Dalam Pesawat A380

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines, yang menjangkakan menerima enam pesawat Airbus A380, kini memberi latihan khusus kepada anak kapal dan petugas barisan hadapannya bagi meningkatkan pengalaman pelanggan atas pesawat superjumbo.

Ketua Bahagian Pengalaman Pelanggan Datuk Salleh Ahmad Tabrani berkata 550 anak kapal dikenal pasti dan dipilih untuk mengikuti latihan dalam pelbagai aspek perkhidmatan hospitaliti dalam pesawat A380 Malaysia Airlines mulai sekarang hingga Disember.

"Latihan kemahiran insaniah itu membolehkan anak kapal meningkatkan penguasaan mereka dalam komunikasi dan pembabitan dengan penumpang atas pesawat A380," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu katanya, petugas barisan hadapan Malaysia Airlines juga akan mengikuti latihan yang sama, termasuk pasukan operasi lapangan terbang, tiket/tempahan, Golden Lounges dan Pusat Hubungan Pelanggan Global.

"Latihan itu akan diseragamkan untuk disesuaikan dengan setiap kawasan operasi bagi memastikan penyampaian pengalaman premium yang konsisten kepada setiap pelanggan," katanya.

Malaysia Airlines dijadual menerima pesawat pertama A380 pada Jun dan akan memulakan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL ke London pada 1 Julai.

Malaysia Airlines ialah syarikat penerbangan kelapan di dunia menggunakan A380. - BERNAMA

Artikel Lain