suria

Lelaki Lemas Ditemui Di Sungai Nenggiri, Gua Musang

GUA MUSANG: Mayat lelaki, yang dihanyutkan arus deras Sungai Nenggiri selepas bot dinaikinya terbalik semasa menangkap ikan di Kampung Jeram Berhala Selasa lepas, ditemui terapung di kawasan sama, Khamis.

Mayat Azrin Bachik, 40, ditemui kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia dilapor lemas oleh seorang penduduk yang sedang ke kebun getah di seberang sungai itu pada 7.30 pagi ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata dalam kejadian pada kira-kira 1 petang Selasa lepas, mangsa menaiki sebuah bot bersama dua rakannya untuk menangkap ikan dengan menyusuri sungai berkenaan.

Sebaik sampai di sebuah pangkalan di Kampung Jeram Berhala, mangsa dikatakan sakit perut dan menaiki semula bot itu seorang diri untuk membuang air besar di tempat lain.

Semasa menghidupkan enjin, bot itu berpusing beberapa kali sebelum karam menyebabkan mangsa terkapai-kapai meminta tolong dalam keadaan arus deras dan berpusar, katanya.

Rakan mangsa, Rozaimi Mohd Aziz, 22, bersama seorang lagi yang dikenali sebagai Joe, 24, gagal menyelamatkan mangsa.

Saiful Bahri berkata gerakan mencari dan menyelamat dijalankan oleh polis, Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bertam Baru. - BERNAMA

Artikel Lain