suria

Kuala Lumpur Tuan Rumah Persidangan Belia Alumni Asia Tenggara-Amerika

PETALING JAYA: Persatuan Alumni Malaysia- Amerika (MAAP) dengan kerjasama bahagian Hal Ehwal Awam, Kedutaan Amerika Syarikat (AS), menganjurkan Persidangan Belia Alumni Asia Tenggara-Amerika (Seal) di Kuala Lumpur, selama tiga bermula Khamis sehingga Sabtu.

Persidangan yang diadakan di Hotel Maya, Kuala Lumpur memberi tumpuan kepada “pemerkasaan belia dengan integriti” menghimpunkan 50 pemimpin belia terdahulu dan sekarang dari sembilan negara Asia Tenggara yang mengambil bahagian dalam program pertukaran tajaan Kerajaan AS.

“Objektif utama persidangan ini adalah untuk mewujudkan satu rangkaian serantau, dan Seal akan menyediakan platform yang melibatkan pemimpin alumni muda bagi berkongsi amalan terbaik mereka dan terus berhubung antara satu sama lain.

“Di samping itu, persidangan ini akan membuka perbincangan untuk meneroka penyelesaian kepada pelbagai isu yang akan memberi kesan kepada negara-negara individu di rantau ini dalam tiga tema, iaitu peranan kerajaan dalam Asean, ekonomi baru Asia Tenggara dan membangunkan masyarakat Asia Tenggara,” kata Kedutaan AS dalam satu kenyataan, Khamis.

Menurut kenyataan itu lagi, majlis perasmian persidangan berkenaan dijadualkan berlangsung pada Jumaat, pukul 9 pagi di Hotel Maya, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

Orang ramai boleh melayari blog Seal2012 di https://seal2012.wordpress.com bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai persidangan ini.

MAAP ditubuhkan pada 23 Ogos 2010 untuk alumni program pertukaran yang ditaja oleh Kerajaan AS.

Ahlinya terdiri daripada mereka yang mengambil bahagian dalam program pertukaran AS seperti Program Pelawat Antarabangsa, Fulbright, YES, Humphrey, Jefferson dan Feloship Eisenhower.

Artikel Lain