suria

Kereta Rempuh Lori Rosak: Tiga Maut

MELAKA: Tiga maut termasuk seorang ibu dan anak lelakinya apabila sebuah Toyota Harrier merempuh sebuah lori sky lift yang rosak di KM198 lebuh raya arah selatan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh di sini, Rabu.

Mereka yang maut di tempat kejadian ialah penumpang kereta, Ng Beng Tian, 32, dan ibunya, Tan Bian, 61, dan seorang mekanik, Muhammad Azizul Safian Rani, 28.

Pemandu lori yang dirempuh itu, Ishak Mohamad, 56, patah kaki kiri manakala pemandu Toyota, Lim Ching Yeo, 32, isteri kepada Ng, dan seorang lagi penumpangnya dipercayai ibu saudara kepada Ng (juga belum dikenal pasti identiti) cedera ringan.

Kejadian berlaku 3.05 petang apabila kereta pelbagaiguna yang membawa empat penumpang dari Raub, Pahang, itu dalam perjalanan ke Simpang Renggam, Johor, tiba-tiba merempuh Muhammad Azizul yang baru selesai membaiki lori seberat enam tan itu di laluan kecemasan.

Saksi yang juga rakan kepada Muhammad Azizul, Irfandi Othman, 30, berkata lori tersebut dari kilang di Puchong menuju ke Jasin, di sini mengalami kerosakan di lokasi kejadian.

"Sebaik sahaja menerima panggilan pada jam 12.30 tengah hari, saya dan Azizul dari Puchong, Selangor, terus ke lokasi untuk membaiki lori berkenaan.

"Sebaik selesai membaiki lori milik Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) itu, Muhammad Azizul sedang mengalihkan dua kon yang diletakkan di laluan kecemasan, tiba-tiba kereta terssebut merempuhnya," katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Melaka.

Irfandi berkata akibat rempuhan, Muhammad Azizul tercampak ke longkang di sebelah kiri lebuh raya dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, kereta itu kemudian merempuh pula lori tersebut lalu berpusing dua kali sebelum melanggar pembahagi jalan di tengah menyebabkan dua penumpangnya cedera dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi Bernama di sini. -BERNAMA

Artikel Lain