suria

Kerajaan Tangguh Bacaan Kedua RUU GST

KUALA LUMPUR: Kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dijadual dibentangkang di Parlimen pada Khamis.

Permohonan itu dibuat Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin pada permulaan sesi persidangan Dewan Rakyat hari ini.

"Saya memohon Dewan Rakyat menarik balik rang undang-undang tersebut daripada senarai aturan mesyuarat hari ini dan ia akan ditangguhkan sehingga tarikh baru yang ditetapkan kemudian," katanya.

Rang undang-undang yang dibacakan kali pertama pada Disember 2009 itu bermatlamat untuk melebarkan asas cukai dan mengurangkan defisit negara.

Sebelum ini kerajaan pernah menangguhkan sebanyak dua kali bacaan kedua rang undang-undang tersebut.

Penangguhan sebelum ini dibuat untuk mendapatkan pandangan rakyat serta memberi penerangan secara mendalam sebelum kerajaan melaksanakan sistem GST bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diamalkan ketika ini.

Artikel Lain