suria

Tiga Lelaki Menyamar Dari Bukit Aman Tipu Pesara Kerajaan RM660,000 Ditahan

MELAKA: Polis Melaka menahan tiga lelaki yang dipercayai menipu seorang pesara kerajaan membabitkan wang tunai RM660,000 dengan menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Melaka, Superitendan Soh Hock Sin berkata, seorang daripada suspek ditahan di Muar pada Sabtu lepas, manakala dua lagi ditahan pada Selasa di Johor Bahru.

Mengulas kes tersebut di sini, Soh berkata, pengadu mendakwa dia menerima panggilan telefon kononnya dari Bukit Aman pada Januari lepas, yang mengatakan dia sedang disiasat berhubung beberapa kes memperolehi duit secara haram.

"Pengadu telah diperdaya untuk memasukkan wang tunai sebanyak 10 kali melalui akaun deposit tunai pemanggil sehingga awal April yang kesemuanya berjumlah RM660,000 bagi menutup kes itu," katanya.

Soh berkata, pengadu menyedari diperdaya selepas mendapati dia tidak disiasat polis dan membuat laporan polis pada 9 April lepas.

Dalam satu lagi kes, polis menahan seorang wanita kerana membeli barangan bernilai RM3,000 di sebuah kompleks membeli-belah di sini, menggunakan kad kredit milik individu lain pada 13 April lepas.

Soh berkata, wanita terbabit ditahan di rumahnya di Tengkera pada Isnin, susulan laporan polis yang dibuat pemilik kad kredit tersebut pada hari berkenaan.

"Pengadu hanya menyedari kad kreditnya hilang apabila menerima satu panggilan dari pihak bank bertanyakan sama ada beliau membeli beberapa barang pada hari tersebut," katanya.

Polis katanya, berjaya mengesan wanita itu menerusi rakaman kamera litar tertutup sebelum melakukan serbuan di rumahnya dan menemui dua utas jam tangan berjenama Seiko dan Solvil serta beg duit berjenama Carlo Rino yang dibeli menggunakan kad kredit terbabit. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain