PPDNKK sarawak Rampas 394,000 Liter Diesel Subsidi Di Bintawa - Semasa | mStar

PPDNKK sarawak Rampas 394,000 Liter Diesel Subsidi Di Bintawa

KUCHING: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri (PPDNKK) merampas 394,000 liter diesel subsidi bernilai RM709,200 dalam serbuan di sebuah premis di zon perindustrian Bintawa di sini, Rabu.

Pengarahnya Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata premis itu terletak di tepi sungai di kawasan itu dan bekalan minyak tersebut dirampas daripada sebuah kapal tangki, dua bot nelayan, tujuh tangki minyak dan dua lori tangki minyak.

Katanya premis itu, yang diserbu sepasukan penguatkuasa PPDNKK dengan bantuan Pasukan Gerakan Am (PGA), dipercayai menjual diesel subsidi kepada pengusaha industri di kawasan itu.

Katanya sekiranya dijual kepada pengusaha industri, nilai diesel industri tersebut mencecah RM1.1 juta.

"Seramai tujuh warga asing yang bekerja tanpa permit juga ditahan di premis itu," katanya kepada Bernama di sini.

Berdasarkan siasatan awal, katanya pemilik premis tersebut melakukan kesalahan menyimpan minyak di tempat yang tidak dilesenkan, menyimpan bekalan melebihi had dan tidak mempunyai rekod urusan keluar masuk bekalan.

Katanya mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, pemilik premis boleh dikenakan denda RM100,000 atau tiga tahun penjara manakala syarikat berkenaan boleh dikenakan denda RM250,000, jika sabit kesalahan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain