suria

Polis Tumpaskan Kumpulan Samun Di Sebuah Restoran 24 Jam

PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan lelaki yang menyamun seorang pelanggan di sebuah restoran 24 jam di Seksyen 14, di sini, 30 minit selepas kejadian itu berlaku.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata kesemua lelaki berumur 30-an itu ditangkap polis setelah menerima maklumat daripada mangsa kejadian itu.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi Isnin lepas dan polis berjaya menahan mereka di Taman Medan di sini.

"Suspek terdiri daripada tiga warga asing dan dua lelaki tempatan. Mangsa mengalami kerugian lebih RM500 termasuk dua buah telefon bimbit ketika disamun menggunakan parang," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil penghargaan kepada sembilan anggota polis yang berjaya melakukan operasi itu.

"Suspek ketika itu melarikan diri dengan sebuah kereta Perdana, dipercayai kereta itu milik seorang suspek dan kita berjaya merampas bahan bukti samun," katanya. Arjunaidi berkata mereka kini ditahan reman dan akan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam satu lagi kes lain, anggota polis Balai Sea Park berjaya menahan tiga lelaki tempatan yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan SS2, di sini ketika membuat rondaan pada pukul 3 pagi.

Katanya ketika polis peronda meminta suspek memberhentikan kereta untuk pemeriksaan, suspek terus memecut kereta Myvi yang dipercayai dicuri pada 2 April lalu.

"Tangkapan dibuat di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan kita menemui alat pemotong cermin, besi panjang, pisau dan pemotong dawai yang dipercayai digunakan untuk mencuri kereta dan menyamun. "Selain itu, polis turut menemui paket dadah di dalam poket seluar (kanan) salah seorang suspek jenis ganja dan syabu dan ujian air kencing didapati positif," katanya.

Kesemua mereka yang berumur antara 20-30 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain