suria

Polis Cari Seorang Lelaki Bantu Kes Langgar Konstabel

BUKIT MERTAJAM: Polis masih mencari seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang melibatkan seorang anggota polis maut di Permatang Tinggi, dekat sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah berkata lelaki itu dikenali sebagai Muhamad Rizal Zainol Rashid, 38, dan beralamat di 112A kampung Sungai Limau, Lunas, Kedah.

"Kita telah pergi ke rumahnya di Lunas, bagaimanapun dia tiada di rumah, hanya kereta Proton Saga warna kelabu yang dipandunya semasa kejadian berada di situ," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Azman meminta orang ramai yang mengenali lelaki berkenaan agar menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, Konstabel Nan Ruazlan Zulkefle, 23, yang sedang mengejar sebuah kereta maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum dia terjatuh dan digilis sebuah lori.

Dalam perkembangan lain, Azman berkata seorang ahli perniagaan yang parah apabila keretanya meletup ketika beliau menghidupkan enjin pada kejadian Jumaat lepas, meninggal dunia awal pagi tadi di Hospital Pulau Pinang.

Katanya, Lee Chong Beng, 52, dari Persiaran Sembilang, Seberang Jaya, melecur lebih 70 peratus badannya akibat terbakar selepas letupan itu dan polis masih menjalankan siasatan mengenai kejadian tersebut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain