suria

Pengerusi MIC P. Pinang Meninggal Dunia

BUTTERWORTH: Pengerusi MIC Pulau Pinang Datuk P.K. Subbaiyah meninggal dunia di rumahnya di Taman Meranti, Bagan Ajam di sini pagi Rabu.

Mendiang berusia 63 tahun.

Ketua Pemuda MIC Negeri J. Dhina ketika dihubungi berkata beliau menerima panggilan telefon daripada keluarga Subbaiyah pada pukul 5.30 pagi yang memaklumkan bahawa Subbaiyah telah meninggal dunia.

Mendiang dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam tidur.

Bekas Anggota Exco Kerajaan Negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Prai selama dua penggal itu dilantik sebagai Pengerusi MIC negeri sejak tahun 2009 dan beliau dilantik sebagai Senator pada April tahun lepas.

Subbaiyah meninggalkan seorang isteri Vallini serta dua orang anak, Gowri dan Ganesh.

Sementara itu, seorang Anggota Dewan Negara Senator Boon Som Inong berkata beliau terkejut dengan berita kematian Subbaiyah kerana mereka baru sahaja makan bersama dua hari lepas.

"Subbaiyah kelihatan sihat dan kami berbual seperti biasa di Parlimen. Saya sangat terkejut dan kehilangan seorang rakan baik di Dewan Negara," katanya.

Sementara itu, anak perempuannya ketika ditemui di rumah mendiang, Gowri, 33, berkata mayat bapanya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masyarakat India Berapit, Bukit Mertajam esok. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain