suria

Pembeli Rumah Taman Sri Raya Serah Memo Kepada MB Berhubung Kelewatan

SHAH ALAM: Tujuh pembeli rumah projek perumahan kos rendah Taman Sri Raya, Batu 9, Cheras hari ini menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memohon beliau mencari penyelesaian bagi masalah yang telah lama mereka hadapi berikutan kegagalan pemaju memulakan projek berkenaan.

Penyelaras jawatankuasa bertindak pembeli rumah itu, Sevan Doraisamy berkata sesetengah pembeli telah selesai membayar pinjaman mereka walaupun projek itu, yang dijadualkan siap pada 1991, masih belum dimulakan.

Katanya pembeli berkenaan menandatangani perjanjian jual beli pada 1989 dengan pemaju terbabit, Kausar Corporation Sdn Bhd, bagi projek milik Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) itu.

"Projek perumahan ini terlewat selama 23 tahun dan kami mahu Abdul Khalid, yang juga Pengerusi PNSB, mengadakan satu perjumpan dengan kami untuk menyelesaikan masalah ini," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan kepada Norzaton Aini Mohd Kassim, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Besar, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini, Rabu.

Sevan berkata pasukan petugas yang ditubuhkan kerajaan negeri untuk menyelesaikan projek perumahan terbengkalai mendapati tapak projek itu tidak sesuai untuk pembinaan rumah.

"Oleh itu, kami mahu pemaju dan kerajaan negeri, melalui PNSB, membayar ganti rugi kepada kami dan jika boleh, mendapatkan rumah lain untuk pihak yang terjejas," katanya.

V. Tharmalingam, 63, yang menandatangani perjanjian jual beli pada Jun 1989, berkata dia mendapat hak milik tanah untuk rumahnya walaupun projek itu belum dimulakan.

Pesara ini berkata dia telah menjelaskan sepenuhnya pinjaman bank bagi rumah teres dua tingkat berharga RM25,000.

M. Selvadurai, 52, berkata dia telah membayar kira-kira RM6,000 untuk rumah yang ingin dibelinya sebagi bayaran muka dan kini terpaksa membeli rumah lain di Taman Midah, Cheras kerana projek itu tidak menjadi kenyataan.

Norzaton Aini berkata satu perjumpaan antara pembeli dan Abdul Khalid akan diatur tidak lama lagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain