suria

N.Sembilan Percepat Proses Buat Keputusan Mesyuarat Exco

SEREMBAN: Ke arah menyediakan sistem penyampaian terbaik untuk rakyat, Negeri Sembilan hari ini memutuskan untuk mempercepatkan proses membuat keputusan berkaitan permohonan orang ramai yang memerlukan kelulusan di peringkat Exco.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata langkah itu yang merupakan transformasi drastik bagi meningkatkan sistem penyampaian kerajaan negeri adalah bertujuan memendekkan tempoh memberi maklum balas kepada orang ramai berkaitan permohonan mereka, yang sebelum ini memakan masa yang agak lama.

"Jadi hari ini di mesyuarat Exco kita membuat keputusan di mana minit mesyuarat hari ini kita luluskan hari ini juga. Sebelum ini, minit mesyuarat hari ini akan diluluskan pada mesyuarat minggu depan.

"Kemudian surat-surat maklum balas akan diberikan kepada jabatan-jabatan mengikut kesempatan masing-masing baru dimaklumkan kepada orang ramai yang mengambil masa sehingga sebulan atau dua bulan. Dan ia telah menimbulkan rungutan di kalangan orang ramai," katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di Wisma Negeri di sini, Rabu, Mohamad berkata antara perkara yang memerlukan kelulusan di peringkat Exco termasuk kelulusan untuk pembangunan tanah, pertukaran status tanah dan pertukaran hak milik tanah.

Katanya permohonan berkaitan perkara tersebut, sebelum ini melalui tempoh yang agak lama termasuk dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, sebelum dapat diserahkan kepada jabatan-jabatan berkaitan untuk dimaklumkan kepada pihak yang memohon.

Bagi memudahkan urusan maklum balas kepada orang ramai mengenai permohonan mereka, semua surat-surat permohonan dan maklum balas akan diuruskan oleh Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Jadi dengan langkah terbaru ini, ia dijangka dapat memendekkan tempoh maklum balas mengenai permohonan orang ramai antara tiga hingga empat minggu," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain