suria

Nenek, Cucu Rentung Dalam Kebakaran Di Kuamut, Sandakan

SANDAKAN: Seorang wanita dan cucu perempuannya rentung apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Minusu Jalan Pinangah Kuamut kira-kira 170 kilometer dari sini, Isnin.

Mayat Jumah Gaurod, 48, dan Adriana Chrisdayehillyn, 6, ditemui rentung di bawah rangka kayu rumah itu.

Empat lagi penghuni rumah itu yang dikenali sebagai Fulgentius Welson, 27, Cornlius Radi, 26, Adrian Radi, 23, dan adik bongsu mangsa, Nicy Fulgentius, 4, berjaya menyelamatkan diri dengan keluar melalui tingkap.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemishin Ujin berkata, kebakaran pada pukul 12 tengah malam itu berlaku ketika kesemua penghuni rumah berkenaan sedang tidur.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.24 tengah malam dan hanya tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.15 pagi disebabkan lokasinya yang jauh.

"Ketika sebuah jentera dan dua kenderaan utiliti bersama sembilan anggota bomba tiba di tempat kejadian, rumah dua tingkat itu hanya tinggal rangka," katanya.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain