suria

Mahkamah Tinggi Syariah Tangguh Keputusan Bantahan Kes Murtad Ke 10 Mei

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang menangguhkan keputusan bantahan awal kes dua beradik yang memohon perisytiharan diri mereka bukan Islam ke 10 Mei depan bagi membolehkan mahkamah melengkapkan alasan penghakiman.

Kes itu difailkan kedua-dua plaintif, Roslina Abdul Rashid dan adiknya, Rosli Abdul Rashid, masing-masing berusia 30-an yang membuat permohonan pada akhir 2010.

Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Othman Ibrahim berkata mahkamah memerlukan masa untuk menyediakan alasan penghakiman sebelum memberikan keputusan.

"Saya sudah mempunyai keputusannya tetapi bagi mengukuhkan keputusan... mahkamah memerlukan masa untuk melengkapkannya dengan alasan," katanya.

Tuntutan itu dirujuk mengikut Seksyen 61 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk mendengar dan memutuskan semua tindakan serta prosiding membabitkan perisytiharan bahawa seseorang itu bukan lagi orang Islam.

Kedua-dua beradik diwakili peguam, Wan Faridulhadi Mohd Yusoff manakala Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) diwakili peguam, Faizal Arif Tajul Ariffin. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain