suria

Gerakan Akan Muktamadkan Senarai Calon Jumaat Ini

KUALA LUMPUR: Gerakan akan memuktamadkan senarai calonnya menjelang Jumaat ini apabila Jawatankuasa Kerja Pusat parti dijangka bermesyuarat bagi membincangkan mengenai calon berpotensi bertanding bagi 12 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri di seluruh negara.

Timbalan Presiden Datuk Chang Ko Youn berkata sejak beberapa minggu lepas, pihak parti telah mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan negeri-negeri untuk menyediakan senarai itu, termasuk penelitian dilakukan oleh sekumpulan orang yang tidak berhasrat menjadi calon parti.

"Kami akan mengadakan mesyuarat CWC pada Jumaat malam untuk membincangkan senarai itu. Bagaimanapun, ia tidak akan diumumkan lagi kerana senarai itu perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan BN untuk dipertimbangkan," katanya kepada ketika dihubungi pada Rabu.

Parti itu mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah parti itu pada pilihan raya umum 2008, dengan hanya mengekalkan dua daripada 12 kerusi Parlimen dan empat daripada 31 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi di seluruh negara.

Lebih perit lagi, parti itu turut kalah di semua kerusi yang ditandinginya di kubu kuatnya di Pulau Pinang selepas mentadbir negeri itu hampir 39 tahun.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum akan datang, parti itu dijangka menggandakan usaha untuk menawan semula beberapa kerusi di Pulau Pinang.

Gerakan dijangka bertanding di empat kerusi Parlimen dan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan 30 nama dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti yang terdiri 18 muka baru manakala bakinya adalah penyandang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain