suria

Dua Lelaki Menyamar Penjawat Awam Samun Warga Asing Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamun seorang warga Bangladesh dengan menyamar sebagai pegawai polis dan pegawai kerajaan di Sungai Besi Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata lelaki tempatan dan lelaki warga Thailand itu diberkas ketika berada dalam sebuah kereta di tepi jalan berhampiran Desa Park di sini pada Jumaat lepas.

Katanya berikutan penangkapan itu, pasukan petugas khas polis menyerbu sebuah rumah di PPR Seri Malaysia pada kira-kira 4 petang pada hari yang sama dan menahan seorang lagi lelaki warga tempatan yang mengaku bersubahat dengan kedua-dua lelaki itu.

Polis merampas sebuah kereta yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian samun itu, dua pucuk pistol, sebuah walkie-talkie, dua telefon bimbit, dua butir peluru, satu jaket yang mempunyai lambang Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), satu baju seragam polis, pelbagai parang, pedang dan pisau kerambit di rumah itu, katanya. "Hasil daripada soal-siasat, suspek mengaku terlibat di dalam kes ini dan kesemua barang rampasan adalah milik suspek dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai penjawat awam dan melakukan samun," katanya pada sidang akhbar di sini, Rabu.

Katanya warga Bangladesh itu yang disamun pada kira-kira 7.45 malam, 10 April lepas kerugian lebih RM2,000 dalam bentuk wang tunai dan telefon bimbit.

Dalam kejadian itu, Mohan Singh berkata kedua-dua suspek berumur 40-an itu telah mengarahkan mangsa yang juga pekerja sebuah kedai perabot di sini supaya mengikut mereka dengan menaiki sebuah kereta kononnya untuk tujuan siasatan.

"Kedua-dua lelaki yang menyamar itu telah menghentikan kereta lebih kurang dua kilometer dari kedai perabot tersebut lalu menyamunnya. Mereka juga menikam pekerja kedai perabot itu di bahagian badan dan membiarkannya di tepi jalan," katanya.

Katanya kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan sehingga 20 April ini.

Sementara itu, Mohan Singh berkata anggota polis Daerah Cheras berjaya menumpaskan Geng Samun KK Mart dengan tertangkapnya dua anggota kumpulan itu awal bulan ini.

Katanya polis yakin dapat menyelesaikan sebanyak tujuh kes samun di sekitar Brickfields dan Cheras dengan penahanan kedua-dua suspek yang dipercayai bergiat aktif sejak tujuh bulan lepas. "Pada 5 April lepas lebih kurang 5.20 pagi hasil intipan ke atas Pasar Raya KK Mart Bukit Jalil, anggota polis telah nampak sebuah motosikal dinaiki dua lelaki dipercayai warga tempatan dalam keadaan mencurigakan memasuki pasaraya tersebut sambil membawa dua bilah parang di kaunter dan mengarahkan supaya menyerahkan semua wang yang ada di kaunter," katanya.

Beliau berkata polis sempat memasuki pasaraya tersebut lalu menahan kedua-dua mereka yang berumur dalam lingkungan 20-an bersama dengan wang tunai RM6,000.

Kata beliau, polis masih memburu seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas dikenali dengan nama panggilan Hakimi.

Mohan Singh berkata kedua-dua suspek diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields pada Isnin lepas untuk siasatan lanjut. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain