suria

15,000 Pekerja Di 41 Estet Dapat Bekalan Air Bersih Mulai Jun Ini - Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: Seramai 15,000 pekerja estet di 41 buah estet akan menikmati bekalan air bersih mulai Jun ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata projek itu bagi menjaga kebajikan pekerja estet dilaksanakan di bawah peruntukan RM50 juta seperti diumumkan pada Belanjawan 2012.

"Projek ini akan menyambungkan sumber bekalan air awam terus kepada tangki air estet yang jaraknya tidak melebihi lima kilometer jauh daripada pintu masuk estet," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaikan cek Peruntukan Persekutuan di sini, Rabu.

Beliau terlebih dahulu menyampaikan cek kepada 17 badan bukan kerajaan (NGO) dan kuil berjumlah RM610,000.

Mengulas lanjut berhubung pemilihan estet yang terlibat dengan Projek Bekalan Air Bersih itu, Dr Subramaniam berkata pihaknya terpaksa menyenaraikan pendek estet disebabkan faktor kos.

Hanya pihak estet yang sudi menyambungkan sumber bekalan air awam kepada rumah pekerja sahaja yang akan menikmati kemudahan itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain