suria

PRU13: BN Sarawak Cadangkan Calon Baru

KOTA SAMARAHAN: Beberapa calon baru akan dicadangkan oleh Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi pilihan raya umum ke-13 akan datang, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Beliau berkata senarai nama bakal calon BN itu ketika ini sedang disiapkan untuk dikemukakan kepada Perdana Menteri dan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya kini menyediakan senarai itu dan akan siap apabila Perdana Menteri memerlukannya kelak. Kami akan mengetengahkan calon wanita dan muka baru," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia Negeri kepada 310 penjawat awam di Dewan Suarah di sini, Selasa.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai butiran calon yang akan dicadangkan itu.

"Jika saya memberitahu anda (segala-galanya sekarang) maknanya saya membuat keputusan sebelum PM (Perdana Menteri) memberi keputusan muktamadnya," kata Taib, yang juga Ketua Menteri dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti komponen BN terbesar di Sarawak. Pilihan raya umum akan datang di Sarawak hanyalah bagi kerusi parlimen memandangkan pilihan raya umum negeri telahpun diadakan pada 2010.

Sarawak mempunyai 31 kerusi parlimen dengan 29 daripadanya ketika ini disandang oleh BN manakala bakinyanya oleh DAP.

Selain PBB, parti komponen BN yang lain di Sarawak ialah Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Ahad lepas, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata semua parti komponen dalam gagasan itu diberi masa dua minggu bermula semalam untuk menyerahkan senarai calon mereka bagi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata tindakan itu sebagai susulan kepada arahan Najib dan surat berkaitan perkara itu dihantar kepada pemimpin parti komponen BN bermula pada Isnin . -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain