suria

Prof Ibrahim Komoo Naib Canselor Baru UMT

KUALA TERENGGANU: Datuk Prof Dr Ibrahim Komoo dilantik sebagai naib canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang baru menggantikan Datuk Prof Dr Aziz Deraman yang tamat perkhidmatannya pada 12 April lalu.

Dalam satu kenyataan UMT hari ini berkata pelantikan Ibrahim itu adalah untuk tempoh tiga tahun berkuatkuasa mulai 13 April 2012 hingga 12 April 2015.

Dari segi pencapaian akademiknya, Ibrahim pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Pengarah Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (Lestari), dan Pengarah Institut Kajian Bencana Asia Tenggara (Seadpri) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebelum ini. Malah pada masa ini, beliau juga penyandang Ketua Kluster Alam Sekitar dan Sumber Asli, Majlis Profesor Negara (MPN), dan ahli Majlis Akademi Sains Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, Ibrahim merupakan seorang pakar yang terkenal dalam bidang alam sekitar dan sumber asli di Malaysia dan antarabangsa khususnya dalam usaha mempelopori gagasan pemuliharaan sumber asli secara terintegrasi dan syumul.

Ketokohan beliau menyerlah apabila dilantik sebagai Ahli Biro dan Pakar Antarabangsa oleh Global Geopark Network anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco). -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain