suria

Polis Rampas Dadah Bernilai RM85,000 Di Sg Siput

IPOH: Polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedaran dadah di tiga daerah di Perak dengan penahanan dua lelaki dan merampas dadah jenis heroin bernilai RM85,000 dalam serbuan di hadapan sebuah hotel di Taman Rimba Setia, Sungai Siput, 40km dari sini Khamis lepas. Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahalan berkata lelaki berusia 33 tahun yang berasal dari sini ditangkap di dalam sebuah kereta yang di parkir di hadapan hotel dalam keadaan mencurigakan, dipercayai sedang menunggu rakannya.

Siasatan lanjut membawa kepada penemuan 10 paket plastik lutsinar berisi bahan dipercayai dadah jenis heroin seberat 4.5 kilogram bernilai RM85,000, katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di sini, Selasa.

Mohd Shukri berkata susulan penangkapan itu, polis menahan seorang lagi lelaki berusia 34 tahun berasal dari Ayer Hitam, Pulau Pinang pada 8.30 malam hari yang sama di Taman Dovenby, Sungai Siput yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pengedaran dadah berkenaan.

Katanya siasatan polis mendapati salah seorang daripada mereka pernah ditangkap mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1983 dan ditahan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA Simpang Renggam), dan dipercayai ketua sindiket pengedaran dadah tersebut. Beliau berkata kedua-dua suspek kini ditahan direman sehingga Jumaat ini bagi siasatan lanjut menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB 1952) yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Hasil siasatan juga mendapati bekalan dadah itu diperoleh di Pulau Pinang dan polis juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti anggota sindiket yang masih aktif dalam kegiatan pengedaran dadah berkenaan.

Berikutan penangkapan ini, katanya polis percaya dapat menumpaskan sindiket pengedahan dadah jenis heroin yang bergiat aktif di Ipoh, Taiping dan Sungai Siput. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain