suria

Nelayan Cederakan OKU Dihukum Penjara 3 Tahun, 3 Sebatan

KLANG: Mahkamah Sesyen di sini Selasa mengenakan hukuman penjara tiga tahun dan tiga kali sebatan ke atas seorang nelayan setelah mengaku bersalah menyebabkan kecederaan parah terhadap anak lelakinya yang tergolong sebagai orang kelainan upaya (OKU) akhir bulan lepas.

Hakim, Siti Noraida Sulaiman mengarahkan Mohd Jalaluddin Umar, 43, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditahan pada 3 April lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohd Faizal Mohd Jalaluddin, 22, dengan menggunakan batang kayu penyapu di rumah mereka di Jalan Haji Mahmud, Parit Baru Baroh, Sungai Air Tawar, Sabak Bernam, pada pukul 7 pagi, 31 Mac lepas.

Hukuman yang diperuntukkan mengikut seksyen berkenaan ialah penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau dihukum sebat.

Timbalan pendakwa raya, Nor Azilah Mat memberitahu mahkamah tindakan yang dilakukan tertuduh itu melampaui batas sebagai seorang bapa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika merayu berkata, dia mempunyai sembilan anak dan isterinya yang tidak bekerja kini menghidap barah payu dara peringkat kedua.

Katanya, anak bongsunya menghidap penyakit lelah dan beliau juga terpaksa menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

Menurut fakta kes, pada 31 Mac lepas abang tertuduh, Jamhari Umar, mendapati tertuduh memukul anaknya di rumahnya selepas terdengar suara adiknya itu marah-marah dan memaki hamun Mohd Faizal, seorang yang mempunyai tahap pemikiran rendah dan lembam.

Jamhari juga terdengar suara mangsa meminta tolong dan merayu untuk tidak dipukul.

Mangsa dipukul dengan batang kayu penyapu di badannya sehingga kayu itu patah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain