suria

Murugan Diminta Bantu Siasatan Kes Tiga Beranak Maut Minum Susu Beracun

SHAH ALAM: Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dikenali sebagai K.Murugan, 42, bagi membantu siasatan kes kematian tiga beranak kerana terminum susu beracun di Taman Sri Ramal, Kajang pada 1 April lepas.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk A. Thaiveegan berkata lelaki berkenaan dilaporkan tinggal di 24, Jalan Bahagian 16, Taman Seri Bahagia, Jalan Cheras di sini, dan terbabit menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan pengawal keselamatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Murugan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Pung Hing Chong di talian 019-4499383 dan 017-3683893 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang 03-8911 4222, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin. Beliau berkata tiga beranak itu yang terdiri daripada ibu, M. Sakunthala, 63; bersama anak perempuannya K. Rajeswary, 28; dan anak lelaki Manivaran, 33; ditemui pengsan selepas rumah mereka terbakar dan mereka dihantar ke hospital.

Mereka kemudian meninggal dunia seorang demi seorang dengan Rajeswary pada 4 April, Manivaran pada 8 April, dan ibu mereka pada Sabtu lepas, dan laporan bedah siasat mendapati mereka mati kerana terminum racun, dan kes itu mempunyai unsur jenayah. Thaiveegan berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. "Pihak polis juga sedang mendapatkan maklumat daripada suami mangsa dan juga seorang lagi anaknya yang terselamat dalam kejadian itu," katanya.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan tiga beranak itu mati dipercayai terminum susu bercampur racun yang diberikan oleh seorang lelaki yang mendakwa boleh mengubati masalah mereka.

Lelaki itu didakwa telah melarikan diri setelah mencuri beberapa barangan berharga, termasuk barang kemas, selepas bertindak membakar rumah tersebut dengan "memasang silinder gas di dapur". -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain