suria

Malaysia Jangka Ketibaan 60 Juta Pelancong Sepanjang 2012

IPOH: Malaysia menjangkakan ketibaan kira-kira 60 juta pelancong ke negara ini pada tahun ini, iaitu satu jumlah yang memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan ketibaan 24.7 juta pelancong dan perolehan berjumlah RM58.3 bilion.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Datuk Dr Ong Hong Peng berkata, sasaran ketibaan itu akan menambah baik kedudukan Malaysia untuk berada dalam kalangan 10 negara paling banyak menerima kedatangan pelancong sejajar dengan sasaran Pelan Pelancongan Malaysia 2020.

"Kementerian akan meneruskan strategi pemasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah destinasi pelancong antarabangsa yang terulung," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Tune Hotel Ipoh di sini, Selasa.

Beliau berkata, Pelan Pelancongan Malaysia 2020 menyasarkan ketibaan 36 juta pelancong dan RM168 bilion perolehan daripada sektor pelancongan menjelang 2020.

Rancangan Malaysia Kesepuluh mengiktiraf kepentingan sektor pelancongan yang dikenal pasti sebagai pemacu aktiviti ekonomi yang akan menyumbang ke arah pertumbuhan dan pengagihan kekayaan kepada ekonomi, katanya.

"Pelancongan terus menjadi pemangkin kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia dan lebih penting lagi kepada kesejahteraan ekonomi, sosial dan kebudayaan komuniti kita.

"Tambahan pula kerancakan industri pelancongan Malaysia menyediakan peluang pekerjaan kepada 1.8 juta orang, dengan 15.9 daripada jumlah keseluruhan pekerjaan adalah daripada sektor pelancongan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Hotels Mark Lankester berkata, Tune Hotel Ipoh merupakan Tune Hotel ke-11 di Malaysia.

"Sebagai menyokong Tahun Melawat Perak 2012, Tune Hotel Ipoh menyediakan pilihan kepada pengunjung tempatan dan antarabangsa ke Perak untuk menginap di tempat penginapan bertaraf dunia pada harga yang amat berpatutan, dilengkapi keperluan untuk mendapatkan tidur yang nyenyak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain