suria

Lima Suspek Dipercayai Terlibat 10 Kes Samun Di Nusajaya Ditahan

JOHOR BAHARU: Polis percaya 10 kes samun di sekitar Nusajaya berjaya diselesaikan selepas menahan lima lelaki di sebuah hotel bajet di Tampoi, dekat sini dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata kesemua mereka yang berumur antara 19 dan 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah hari. "Polis menemui pelbagai barangan termasuk dua parang panjang, satu kereta Proton Waja, 13 telefon bimbit pelbagai jenama, jam tangan, dua pasport dan peralatan pecah rumah dalam serbuan berkenaan," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata ujian air kencing mendapati kesemua suspek terlibat dalam penyalahgunaan dadah dengan dua daripada mereka turut dikehendaki polis bersabit menerima harta curi dan penyalahgunaan dadah.

Kesemua mereka kini direman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata pihaknya menahan lima lelaki berumur antara 17 dan 36 tahun, Selasa lepas, dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian samun di kawasan Johor Baharu Utara.

"Kesemua mereka yang kini sedang direman, ditahan pada pukul 4.15 pagi dalam beberapa serbuan di sekitar Taman Ungku Tun Aminah, Skudai.

"Polis kemudian merampas sebilah parang, pelbagai peralatan pecah rumah, topeng muka, sarung tangan, sebuah kereta Nissan Grand Livina yang dilaporkan hilang di Seremban di Negeri Sembilan, 25 telefon bimbit, pelbagai barangan elektrik, dua komputer riba dan tiga televisyen," katanya.

Beliau berkata tiga daripada mereka mempunyai rekod berkaitan curi kenderaan bermotor di kawasan Johor Baharu Selatan manakala dua lagi dikehendaki polis berkaitan dadah di Johor Baharu Selatan dan Nusajaya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain