suria

Konflik Fizikal Antara Negara Bukan Lagi Satu Pilihan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Konflik fizikal antara negara bukan lagi pilihan berdaya maju di rantau ini atau bahagian lain di dunia dalam abad ke-21, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pencerobohan, keganasan dan perang di antara negara akan hanya membawa kemusnahan dan penderitaan kepada rakyat.

Berucap pada Forum Putrajaya 2012 di sini, hari ini, beliau berkata negara-negara kini berdepan dengan cabaran keselamatan bukan tradisional yang baharu seperti pemerdagangan orang, keganasan, penyeludupan dadah dan percambahan senjata nuklear.

"Ini tidak dapat diselesaikan secara terasing atau menerusi struktur keselamatan sepertimana di masa lampau. Cabaran-cabaran baru ini memerlukan lebih ketelusan di antara negara-negara dalam menyelesaikannya," katanya.

Forum itu diadakan sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-13 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Ahmad Zahid menegaskan mengenai pentingnya perbincangan pelbagai hala antara negara-negara menerusi pelbagai platform dalam usaha untuk memastikan keamanan dan kestabilan termasuk menerusi langkah pembinaan keyakinan.

Beliau juga berkata usaha untuk menjejaskan kestabilan ekonomi sesebuah negara oleh individu, kumpulan atau perbadanan kini semakin menjadi satu trend.

"Dengan menjejaskan kestabilan ekonomi, rakyat sebuah negara itu akan terdorong untuk melakukan rusuhan, perhimpunan dan protes, melumpuhkan kestabilan negara itu dan menghalang pembangunan," katanya mengenai bahaya itu yang beliau sifatkan sebagai keganasan ekonomi.

Katanya ekonomi-ekonomi kini saling bergantung yang menyebabkan tidak lagi perlu bagi mana-mana negara untuk berperang kerana tindakan itu bermakna akan mengakibatkan kerugian besar.

Sementara itu, dalam ucaptama pada forum bertema 'Mempertingkatkan Multilateralisme Bagi Pertahanan dan Keselamatan Serantau" itu, Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan berkata ketelusan amat penting dalam meningkatkan persefahaman antara negara anggota Asean untuk mengelakkan salah tanggapan dalam bidang seperti pemerolehan senjata.

Beliau berkata negara anggota Asean perlu terlebih dahulu meningkatkan persefahaman di kalangan mereka sebelum rantau itu boleh menjalin kerjasama ketenteraan seperti Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara.

Dalam pada itu, Dr Surin berkata Asean perlu meningkatkan kerjasama dalam menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada negara anggota yang mengalami bencana alam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain