suria

Kerajaan Tolak Tubuh PSC Kaji Akta Ganti ISA

KUALA LUMPUR: Kerajaan menolak cadangan pembangkang bagi menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji semula mengenai rang undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tiada keperluan bagi kerajaan untuk menubuhkan PSC bagi menilai semula Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang sedang dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua.

"Itu tidak akan dilakukan, kita tak akan buat PSC atau tunda sehingga enam bulan (sebelum dapat diluluskan)," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 di sini, Selasa.

Pada sesi perbahasan Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PSC ditubuhkan untuk mengkaji semula rang undang-undang berkenaan kerana disifatkan masih bertentangan dengan hak asasi manusia.

Ketua Pembangkang itu berkata, walaupun beliau menyambut baik usaha kerajaan memansuhkan ISA, namun beberapa peruntukan yang terkandung dalam Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 itu disifatkan 'lebih keras' berbanding ISA.

Mengulas lanjut Mohamed Nazri berkata, permintaan pembangkang agar rang undang-undang tersebut ditangguhkan sehingga enam bulan sebelum diluluskan hanya bertujuan memenuhi kepentingan politik mereka.

"Pembangkang asyik ramalkan pilihan raya sudah dekat. Jadi kalau kita luluskan rang undang-undang ini maka satu bahan kempen pilihan raya mereka akan hilang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain