suria

Hina Raja: MP PKR Fail Usul Siasat

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat diminta menubuhkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi menyiasat mengenai dakwaan perbuatan menghina raja-raja Melayu semasa Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara baru-baru ini.

Usul yang dikemukakan Tian Chua (PKR-Batu) tersebut menggunakan Peraturan Mesyuarat 80A.

"Saya mohon mencadangkan supaya di dalam Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang berlangsung sekarang dipertimbangkan perlantikan suatu jawatankuasa untuk menyiasat hal perbuatan dan perkara yang boleh dikenakan hukuman sebagai perbuatan menghina Majlis di bawah Ordinan Majlis-Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952," katanya menerusi usul yang difailkan di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Sebelum ini, beliau yang juga Naib Presiden PKR serta beberapa pemimpin pembangkang termasuk Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) dilaporkan melakukan perbuatan menghina dan mempersendakan raja Melayu seperti yang didedahkan seorang ahli perubatan, Dr Abdul Rahman Kadir yang bertugas pada istiadat tersebut.

Bagaimanapun Tian Chua menerusi usul berkenaan turut menyifatkan dakwaan berkenaan adalah fitnah jahat terhadapnya.

"Berita-berita palsu yang mengaitkan kedudukan saya sebagai Ahli Parlimen yang difitnah sebagai menghina raja-raja Melayu tidak boleh diketepikan begitu sahaja.

"Perkara ini adalah serius kerana ianya menjejaskan kewibawaan Parlimen sebagai institusi tertinggi negara dan bersifat perbuatan yang menghina Majlis Parlimen," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain