suria

Empat Lelaki Pura-Pura Hantar Hamper Semasa Merompak Ditahan

KOTA KINABALU: Polis menahan empat lelaki berhubung kes merompak dengan berpura-pura menghantar hamper di Austral Park, Kepayan, dekat sini bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, SAC Omar Mammah berkata ketika ditahan pukul 5.50 pagi 13 April lepas, seorang daripada suspek patah lengan, kaki dan pinggangnya terseliuh setelah melompat ke bawah dari atas rumah dua tingkat di Taman Sagindai, Kinarut.

"Tiga orang suspek itu diberkas di Kinarut manakala yang keempat, 16 jam kemudian di Kampung Pabilan, Keningau,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Omar berkata, mangsa seorang penjawat awam kehilangan barang-barang berharga berjumlah kira-kira RM30,000 apabila tiga lelaki melakukan rompakan pada siang hari di rumahnya pada 31 Mac.

Beliau berkata, pemilik rumah berkenaan tiada di rumah semasa kejadian pukul 11 pagi itu dan lelaki penjenayah tersebut hanya berdepan pembantu rumah mangsa.

Omar berkata, pembantu rumah berkenaan membenarkan ketiga-tiga lelaki itu masuk berpura-pura menghantar hamper yang kemudian terperanjat apabila mereka mengeluarkan pisau dan parang daripada bakul tersebut.

Beliau percaya lapan orang lagi terlibat dan polis sedang mencari mereka untuk membantu menyiasat 11 lagi kes rompakan di Kota Kinabalu, Penampang dan Keningau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain