suria

Eksekutif Kilang Plastik Didakwa Beri Rasuah RM100,000

KUALA LUMPUR: Seorang eksekutif kilang plastik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, Selasa terhadap tuduhan memberi suapan RM100,000 kepada seorang ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) tahun lepas.

Seow Lai Pon, 53, didakwa memberi suapan itu kepada Pengurus Kanan Unit Siasatan dan Risikan TNB, Rumaizi Mohd Amin, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap Kilang Teong Kim Plastik.

Seow didakwa berbuat demikian di kawasan Parking Basement 1, Menara Wisma Pantai, Plaza Pantai, Jalan 4/83A, Off Jalan Pantai Baru di sini pada 1.15 tengah hari, 17 Ogos 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Sophian Zakaria menawarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan meminta tertuduh melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Bagaimanapun, peguam Mohd Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan yang mewakili Seow memohon jaminan dikurangkan kepada RM10,000 kerana tertuduh yang berpendapatan RM4,000 sebulan perlu menanggung ibu bapa yang sudah tua dan tidak mampu membayar jaminan yang tinggi.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membenarkan Seow diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei depan untuk sebutan selain diperintahkan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain