suria

Daftar Pemilih Tidak Kotor - SPR

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan agar semua pihak supaya tidak memperbesarkan kenyataaan kononnya daftar pemilih negara ini kotor.

Sebaliknya Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff menegaskan bahawa daftar pemilih sedia ada adalah bersih tanpa wujudnya pertindihan senarai pemilih, pemilih meninggal dunia atau warga asing yang didaftar sebagai pemilih.

Menurut beliau, SPR telah menghantar 12.6 juta senarai pemilih kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk disemak mengenai status terkini agar tidak berlakunya keraguan.

"Semua 12.6 juta pemilih itu telah disemak dan kita dapati semua itu tidak berlaku. Cuma yang berlaku ialah 42,051 pemilih tidak dapat disahkan oleh JPN sama ada pengundi-pengundi ini hidup atau mati, warga negara ataupun tidak kerana bila JPN hubungi mereka, tidak ada jawapan.

"Yang diklasifikasikan sebagai pemilih ragu hanya lebih kurang 42,000 iaitu lebih kurang 0.3 peratus. Adakah itu boleh ditafsirkan sebagai daftar pemilih di Malaysia kotor? Hanya kerana 0.3 peratus yang ragu," katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang di bangunan Parlimen di sini, Isnin.

Bagaimanapun menurut Abdul Aziz, jumlah pemilih yang diragui tersebut sudah berkurangan apabila pihaknya mendapati seramai 481 orang dalam kelompok berkenaan masih hidup manakala 301 orang lagi sudah meninggal dunia.

"Sehingga 25 Januari hanya ada 41,750 rekod masih lagi ragu dan kalau undang-undang benarkan kita akan lihat bagaimana nak bersihkan," katanya.

Sementara itu SPR turut menafikan dakwaan kononnya suruhanjaya itu bertanggungjawab memindahkan pengundi dari satu kawasan ke kawasan lain.

Sebaliknya jelas beliau, perubahan tempat mengundi membabitkan 19,342 pengundi tersebut dibuat berdasarkan pembetulan lokaliti pemilih berkenaan.

"Contoh paling mudah ialah kes Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Semasa didaftarkan pada 1985 alamat yang digunakan oleh beliau ialah 16/2 Petaling Jaya.

"Apabila disemak kita dapati kedudukan alamat rumah beliau bukan di negeri Selangor serta bukan berada dalam tempat mengundi Petaling Jaya Selatan sebaliknya dalam kawasan Universiti iaitu Parlimen Lembah Pantai.

"Jadi kita betulkan daftar pemilih Tan Sri Abdul Khalid yang dulunya mengundi dalam negeri Selangor, kita betulkan kesilapan itu, balik semula ke Wilayah Persekutuan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain