suria

Syed Zainal Mungkin Tidak Sambung Kontrak Sebagai Pengarah Urusan Proton - Dr M

KUALA LUMPUR: Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Isnin membayangkan bahawa Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir mungkin tidak mahu terus menerajui pengeluar kereta nasional itu di bawah pemilikan DRB-Hicom Bhd.

Mahathir, yang juga penasihat Proton berkata dalam kes Syed Zainal, tidak ada kemungkinan pemecatan tetapi semata-mata soal tentang perjanjian antara Syed Zainal dan DRB-Hicom mengenai cara terbaik untuk menangani masalah tidak diperlukan.

"DRB-Hicom berhak menukar Pengarah Urusan kerana mereka kini memiliki Proton tetapi buat masa ini Syed Zainal masih pengarah urusan dan beliau dibayar bagi jawatan itu. "Bagaimanapun sudah tentunya beliau mungkin tidak mahu meneruskannya. Itu pilihan beliau," kata Mahathir kepada pemberita selepas mempengerusikan Sesi Strategi Peringkat Tinggi Meja Bulat yang dianjurkan oleh Dewan Perdagangan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai laporan berita bahawa Syed Zainal mungkin disingkirkan sebagai pengarah urusan syarikat selepas pelancaran model sedan Proton Preve malam ini.

Apabila ditanya mengenai potensi pengganti, Mahathir berkata:"Saya rasa jika Syed Zainal tidak berada di sana, DRB-Hicom perlu menggantikan seseorang di sana. "Mungkin, salah seorang daripada orang DRB-Hicom sendiri yang berpengalaman dalam industri automotif (boleh mengisi jawatan)," katanya.

Minggu lepas, sebuah akhbar harian perniagaan melaporkan Syed Zainal telah menyerahkan peletakan jawatan beliau, beberapa hari sebelum pelancaran model terkini Proton dan beberapa minggu selepas DRB-Hicom mengambil alih syarikat tersebut.

Bagaimanapun, pada hari yang sama kemudiannya, Proton mengeluarkan satu kenyataan menyangkal laporan berita itu dengan menyatakan:"Syed Zainal masih memegang jawatan Pengarah Urusan Kumpulan Proton dan perkhidmatan beliau masih diperlukan dalam syarikat".

Dipercayai bahawa Ketua Pegawai Operasi DRB-Hicom Datuk Lukman Ibrahim akan mengambil alih jawatan itu daripada Syed Zainal.

Syed Zainal, 50, yang menyertai industri auto dengan menjadi Pengurus Besar Kanan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) pada 1999 dan kemudiannya Timbalan Pengarah Urusan syarikat pada 2005, dilantik sebagai Pengarah Urusan Proton pada 1 Januari, 2006.

Pada Januari, pengurus aset kerajaan Khazanah Nasional Bhd mengumumkan penjualan 42.74 peratus pegangannya dalam Proton kepada DRB-Hicom dengan harga RM1.291 bilion.

Penjualan itu dimuktamadkan bulan lepas dan DRB-Hicom melantik Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohd Khamil Jamil sebagai Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Proton, menggantikan Datuk Seri Nadzmi Salleh, yang menyerahkan peletakan jawatannya selepas janji niaga itu selesai. -BERNAMA

Artikel Lain