suria

Suruhanjaya Integriti Perlu Kerjasama Orang Awam

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) hanya dapat bertindak terhadap salah laku pegawai dan agensi penguatkuatkuasan jika ada aduan daripada orang ramai.

Namun, Pengerusinya Datuk Heliliah Mohd Yusof berkata setakat ini agensi itu berdepan dengan pelbagai kekangan termasuk keengganan pengadu meneruskan kerjasama apabila dipanggil memberi keterangan.

Tidak dapat dinafikan ada yang gusar untuk membuat aduan, namun agensi ini memberi jaminan segala maklumat pengadu tidak akan didedahkan, katanya kepada pemberita selepas dialog bersama agensi penguatkuasaan Pulau Pinang, di sini, Isnin.

Heliliah berkata terdapat pelbagai saluran yang boleh digunakan orang ramai untuk mengemukakan aduan kepada EAIC seperti hadir sendiri ke suruhanjaya itu atau melalui emel, surat dan telefon.

Secara keseluruhan kesedaran orang ramai akan kewujudan EAIC sudah bertambah berdasarkan aduan yang meningkat iaitu 79 setakat tahun ini berbanding hanya 18 sepanjang tahun lalu, katanya. Beliau berkata Kuala Lumpur mencatatkan jumlah aduan tertinggi bagi tempoh April 2011 sehingga 13 April lepas iaitu 30 aduan, diikuti Selangor (17) dan Pulau Pinang (12).

Kebanyakan aduan telah didaftarkan melalui agensi-agensi di bawah seliaan EAIC antaranya Polis Diraja Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Terdahulu, kira-kira 70 wakil pengarah dan pegawai dari 18 agensi penguatkuasaan di Pulau Pinang menghadiri dialog itu yang bertujuan membincangkan usaha dan kerjasama kedua-dua pihak dalam membanteras salah laku pada kalangan pegawai penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan. -BERNAMA

Artikel Lain