suria

Sektor Perladangan Negara Perlu Distruktur Semula - Najib

BESTARI JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, industri perladangan terutamanya kelapa sawit perlu distruktur semula supaya lebih efisien, kompetitif dan menarik lagi, agar mampu menggalakkan lebih ramai lagi tenaga kerja tempatan menyertainya yang kini majoriti pekerjanya warga asing.

Pada masa ini industri sawit mempunyai lebih 450,000 tenaga kerja dan daripada jumlah ini hanya 83,000 pekerja tempatan manakala selebihnya pekerja warga asing, kata beliau semasa berucap merasmikan Kompleks Perumahan dan Pengurusan Ladang Tennamaram milik Sime Darby Plantation Sdn Bhd di sini, Isnin.

Beliau berkata, industri kelapa sawit merupakan antara penyumbang utama ekonomi negara dengan kawasan pengeluaran seluas 4.9 juta hektar, hasil tuaian 19 juta tan sehektar dan eksport komoditi itu pada tahun lepas mencecah RM80 bilion.

"Sebab itu saya amat sedar perkara itu, tambahan pula dalam industri perladangan ini, kebajikan pekerjanya agak ketinggalan selama ini berbanding dengan sektor lain," kata beliau.

Najib berkata, beliau tidak dapat menerima keadaan pekerja ladang dalam keadaan terbiar sedangkan pekerja sektor lain menikmati kemajuan hidup dengan pendapatan mereka bertambah manakala pekerja ladang terus bergaji rendah di bawah paras kemiskinan dan ramai antara mereka terjebak dengan masalah sosial.

Oleh itu, pada pertengahan tahun lepas beliau telah memberitahu Sime Darby, yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya menaikkan gaji bulanan pekerja ladangnya sebanyak RM200 lagi supaya pendapatan mereka berada di atas garis kemiskinan.

"Sime Darby mula-mula agak risau juga, bimbang juga dengan arahan kerajaan ini, tapi setelah kembali buat perkiraan kaitkan dengan produktiviti... sejak kenaikan gaji dilaksanakan produktivi meningkat kepada 10.7 peratus berbanding tahun sebelumnya," kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, melalui keputusan menaikkan gaji pekerja Sime Darby, nasib pekerja dapat dibela dan Sime Darby mendapat lebih keuntungan hasil produktiviti pekerja yang meningkat yang secara tidak langsung membawa faedah kepada kerajaan.

Najib berkata, jika Sime Darby boleh melakukannya, syarikat-syarikat korporat lain diharap dapat mencontohi GLC itu supaya pekerja yang membanting tulang layak mendapat upah yang berpatutan dan jangan hanya pemilik yang mendapat pulangan besar.

Beliau berkata, difahamkan Sime Darby menyediakan rumah yang lebih selesa untuk pekerjanya, berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik termasuk kemudahan stesyen televisyen satelit, ASTRO.

"Pekerja di sini nak tengok cerita Bollywood, cerita Tamil pada Sabtu mereka tak boleh miss. Ini extra sedikit projek ini sebagai satu model atau contoh kepada badan-badan (korporat) lain".

Beliau berkata, jika rakyat ingin menikmati kemudahan dan bantuan yang lebih, ekonomi perlu berkembang supaya hasil negara kian bertambah.

Perjuangan membela rakyat perlu menampakkan hasil, boleh dilihat dan dikecapi dan di Malaysia tidak ada sesiapa boleh menafikan keadaan sekarang adalah lebih baik daripada dahulu.

"Dan dengan izin Allah ia akan bertambah baik pada masa akan datang," kata beliau.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan yang kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.6 juta untuk projek bekalan air bersih di Ladang Sungai Tinggi dan Mary yang juga terletak di Bestari Jaya.

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana sudi datang pada majlis itu "walaupun sering berbalah tetapi hari ini adalah hari gencatan senjata."

Sementara itu, Pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam berkata, projek Kompleks Perumahan dan Pengurusan Ladang Tennamaram ini merupakan pekan mini dalam ladang itu yang dilengkapkan dengan perumahan yang selesa untuk pekerja dan pengurusan, kemudahan sukan dan rekreasi, rumah-rumah ibadat dan kawasan komersil.

Beliau berkata, projek di Ladang Tennamaram ini merupakan projek perintis bagi pembangunan seumpama ini di ladang-ladamg milik Sime Darby pada masa akan datang.

Ladang Tennamaram dipilih untuk pelaksanaan projek ini kerana ia merupakan ladang komersil pertama kelapa sawit di Malaysia milik Sime Darby yang mula diusahakan pada 1917. - BERNAMA

Artikel Lain