suria

Samun Kereta Mewah: Polis Tahan Tiga Lelaki

KUALA LUMPUR: Kepantasan polis bertindak menyaksikan kes samun sebuah kereta mewah di Taman Ehsan, Kepong di sini semalam, berjaya diselesaikan dalam tempoh kira-kira tiga jam dengan penahanan tiga lelaki.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata polis masih memburu seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri.

Ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia 28, 30 dan 35 tahun itu merupakan bekas banduan, manakala suspek keempat sedang diburu, katanya kepada Bernama, di sini, Isnin.

Mengulas kejadian, beliau berkata polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia awal 40-an bahawa kereta Toyota Camry miliknya disamun empat suspek bersenjatakan parang pada 6.40 petang di Taman Ehsan.

Empat suspek terbabit yang menaiki dua kereta Proton Wira mengarahkannya menyerahkan kunci kenderaan sebelum meninggalkan tempat kejadian bersama Toyota Camry tersebut serta beberapa barang milik mangsa termasuk wang tunai RM1,000.

Kira-kira sejam setengah selepas itu, polis mengesan Toyota Camry berkenaan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Persiaran Gurney.

"Polis kemudian menunggu di hadapan pondok pengawal keselamatan kondominium terbabit, dan kira-kira 9.15 malam kereta tersebut dipandu keluar dan dinaiki kesemua empat suspek.

"Apabila ternampak polis mereka bertindak melanggar kereta peronda polis sebelum memecut laju untuk melarikan diri, memaksa polis mengejar dan melepaskan enam das tembakan yang mengenai kedua-dua tayar hadapan serta pintu sebelah kiri kereta tersebut," katanya.

Kereta itu yang sudah dipasang nombor pendaftaran palsu kemudian terbabas, menyebabkan keempat-empat suspek cuba melarikan diri, namun tiga berjaya ditahan polis, katanya.

Abdul Rahim berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan samun bersenjata. -BERNAMA

Artikel Lain