suria

Polis Serbu Premis Perjudian Internet

GEORGE TOWN: Polis menyerbu sebuah premis yang menjalankan kegiatan judi internet dan merampas pelbagai peralatan bernilai RM50,000 dalam satu operasi di Jalan Slim, Jelutong di sini malam Ahad.

Jurucakap polis berkata hasil maklumat awam dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap Dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut menyerbu premis itu pada pukul 8 malam.

"Semasa serbuan kedai itu baru memulakan perniagaan manakala pintu hadapannya dilengkapi sistem kod digit yang hanya diketahui pelanggan tetap.

"Selain itu, premis di tingkat satu itu turut dilengkapi kamera litar tertutup di luar bahagian atas pintu hadapan berkenaan agar dapat memerhati kehadiran pihak berkuasa," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Beliau berkata ketika serbuan, hanya terdapat seorang lelaki yang dipercayai penjaga premis berusia dalam lingkungan 20-an.

Jurucakap itu berkata dalam operasi tersebut polis merampas sebuah mesin simulator, 12 set komputer perjudian serta beberapa barangan lain yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM50,000.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan operasi berkenaan dan usaha membanteras aktiviti perjudian akan dijalankan dari semasa ke semasa.

"Penjaga kedai berkenaan ditahan bagi membantu siasatan menurut Seksyen 4b(a) Akta Rumah Perjudian terbuka 1953," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain